Teks Khutbah kepada yang berhajat...moga bermanfaat...
TIADA PAKSAAN DALAM AGAMA
الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِى أَنْزَلَ عَلَى عَبْدِهِ الْكِتَبَ وَلَمْ يَجْعَل لَّهُ, عِوَجَا. أَشْهَدُ أَن لَّا إِلهَ إِلَّا اللهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ ، لَهُ المُلْكُ وَلَهُ الحَمْدُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ. وَأَشْهَدُ أَن مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ,، الْمَبْعُوثُ رَحْمَةً لِلْعَالَمِينَ. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلَى حَبِيبِنَا وَشَفِيعِنَا وَإِمَامِنَا وَقُدْوَتِنَا مُحَمَّدٍ ، نَبِيِّ الَّرحْمَةِ وَشَفِيعِ الأُمَّةِ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ وَمَنْ تَبِعَهُ, وَنَصَرَهُ, وَوَالَاهُ,.
أَمَّا بَعْدُ :
فَيَا عِبَادُ اللهِ، اتَقُوا اللهَ. وَتَزَوَّدُوا فَإِنَّ خَيْرَ الزَّادِ التِّقْوَى، فَقَدْ فَازَ المُتَّقُونَ.
Wahai hamba-hamba Allah, bertakwalah kamu kepada Allah dengan mengikut segala perintahnya dan meninggalkan segala larangannya. Carilah bekalan, sesungguhnya sebaik-baik bekalan ialah bertakwa kepada Allah. Maka sesungguhnya berjayalah orang-orang yang bertakwa.
Saudaraku muslimin yang dirahmati Allah sekalian,
Firman Allah SWT :
لاَ إِكْرَاهَ فِي الدِّيْنِ قَد تَّبَيَّنَ الرُّشْدُ مِنَ الْغَيِّ فَمَنْ يَكْفُرْ بِالطَّاغُوْتِ وَ يُؤْمِنْ بِاللهِ فَقَدِ اسْتَمْسَكَ بِالْعُرْوَةِ الْوُثْقَىَ لاَ انْفِصَامَ لَهَا وَ اللهُ سَمِيْعٌ عَلِيْم 256
اَللهُ وَلِيُّ الَّذِيْنَ آمَنُوْا يُخْرِجُهُمْ مِّنَ الظُّلُمَاتِ إِلَى النُّوْرِ وَ الَّذِيْنَ كَفَرُوْا أَوْلِيَآؤُهُمُ الطَّاغُوْتُ يُخْرِجُوْنَهُم مِّنَ النُّوْرِ إِلَى الظُّلُمَاتِ أُولَئِكَ أَصْحَابُ النَّارِ هُمْ فِيْهَا خَالِدُوْنَ 257 [سورة البقرة:256-257]
256. tidak ada paksaan Dalam Agama (Islam), kerana Sesungguhnya telah nyata kebenaran (Islam) dari kesesatan (kufur). oleh itu, sesiapa Yang tidak percayakan Taghut, dan ia pula beriman kepada Allah, maka Sesungguhnya ia telah berpegang kepada simpulan (tali ugama) Yang teguh Yang tidak akan putus. dan (ingatlah), Allah Maha Mendengar, lagi Maha mengetahui.
257. Allah Pelindung (yang mengawal dan menolong) orang-orang Yang beriman. ia mengeluarkan mereka dari kegelapan (kufur) kepada cahaya (iman). dan orang-orang Yang kafir, penolong-penolong mereka ialah Taghut Yang mengeluarkan mereka dari cahaya (iman) kepada kegelapan (kufur). mereka itulah ahli neraka, mereka kekal di dalamnya. (Surah Al-Baqarah ayat 256-257)
Ayat ini memberi penegasan dari Allah SWT betapa mewajibkan manusia itu beriman kepada Allah, Tuhan Yang Maha Esa pada zat-Nya, sifat-Nya dan nama-namaNya, tuhan yang tidak ada tanding-Nya dan bandingan-Nya, tuhan yang layak disembah, satu-satuNya, tidak ada yang lain. Tuhan yang menjadikan mereka, yang mengurus seluruh alam, bukan sahaja menjadikan alam, termasuk dalam kalangan alam itu manusia. Manusia hendaklah berpegang dengan petunjuk Allah SWT yang dinamakan Islam dan menolak semua yang lain daripada Islam yang melampaui batas-batas Allah SWT, samada batas-batas hukum syariah, batas-batas akhlak,batas-batas amalan, cara hidup dan batas-batas semua kehendak Allah SWT.
Allah tidak memaksa manusia, mereka diberi akal fikiran oleh Allah untuk berfikir menggunakan akal yang diberi itu dengan sifat fitrah (semulajadi) yang ada pada menusia ynag mesti percaya kepada Tuhan yang mencipta alam ini:
وَلَئِنْ سَأَلْتَهُمْ مَنْ خَلَقَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضَ لَيَقُولُنَّ اللَّهُ [الزمر:38]
38. dan Demi sesungguhnya! jika Engkau (Wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu: "Siapakah Yang mencipta langit dan bumi?" sudah tentu mereka akan menjawab: "Allah". (Surah Al-Zumar 38)
Samada orang-orang Islam ataupun orang yang kafir, termasuk mereka yang kawannya tidak tidak percaya kepada adanya Tuhan, bila berada dalam keadaan yang sangat berbahaya dalam kehidupan mesti kembali kepada Tuhan yang mencipta alam ini. Kepercayaan kepada Tuhan menjadi fitrah (sifat semulajadi) manusia.
Namun Allah hanyalah memberi hidayah (petunjuk) dan iman kepada mereka yang layak mendapat petunjuk dari Allah SWT. Mereka yang bersungguh-sungguh memohon hidayah sari Allah akan diberi petunjuk oleh Allah :
وَالَّذِينَ جَاهَدُوا فِينَا لَنَهْدِيَنَّهُمْ سُبُلَنَا ۚ وَإِنَّ اللَّهَ لَمَعَ الْمُحْسِنِين [سورة العكبوت :69]
69. dan orang-orang Yang berusaha Dengan bersungguh-sungguh kerana memenuhi kehendak ugama kami, Sesungguhnya Kami akan memimpin mereka ke jalan-jalan Kami (yang menjadikan mereka bergembira serta beroleh keredaan); dan Sesungguhnya (Pertolongan dan bantuan) Allah adalah berserta orang-orang Yang berusaha membaiki amalannya. (Surah Al-Ankabut ayat 69)
Itulah janjinya kepada orang yang ikhlas memohon petunjuk dari Allah SWT. Sejauh mana mereka menggunakan akal dan fikiran yang diberi oleh Allah SWT. Orang yang tidak ada akal atau gila, kanak-kanak, orang yang bermimpi dan tidak sedar adalah tidak mukallaf. Begitu juga binatang-binatang yang tidak ada akal adalah tidak mukallaf. Hanya manusia yang ada akal ini diuji oleh Allah SWT :
وَقُلِ الْحَقُّ مِنْ رَبِّكُمْ ۖ فَمَنْ شَاءَ فَلْيُؤْمِنْ وَمَنْ شَاءَ فَلْيَكْفُرْ [سورة الكهف:29]
29. dan Katakanlah (Wahai Muhammad): "Kebenaran itu ialah Yang datang dari Tuhan kamu, maka sesiapa Yang mahu beriman, hendaklah ia beriman; dan sesiapa Yang mahu kufur ingkar, biarlah Dia mengingkarinya". (Surah Al-Kahfi 29)
Tidak ada paksaan dalam perkara agama. Islam tidak menyuruh kita memeksa penganut-penganut agama lain masuk Islam, kerana memaksa orang masuk Islam menjadi orang-orang Islam yang munafik, hatinya tidak percaya kepada Allah. Mestilah menjadi orang-orang Islam yang ikhlas hatinya, bukan amalan dan cakapan sahaja. Inilah hikmah disebalik tidak ada paksaan dalam perkara agama.
Itulah keadilan Allah SWT kepada manusia. Manusia wajib menunaikan kebijaksanaan yang diberi oleh Allah SWT kepada mereka, samada memilih Islam atau memilih cara yang lain daripada Islam. Inilah risalah ynag dibawa oleh Nabi Muhammad SAW, dibawa oleh para sahabat dan dibawa oleh orang yang menyambung dakwah dan perjuangan Islam disepanjang zaman.
Rabi’ bin Umar yang ditugaskan untuk menemui panglima tentera Parsi dengan tegas mengatakan :
اللهُ ابْتَعَثَنَا لِنُخْرِجُ مَنْ شَاءَ مِنْ عِبَادَةِ الْعِبَادِ إِلَى اللهِ، وَمِنْ جَوْرِ الأَدْيَانِ إلَى عَدْلِ الْإِسْلَامِ، وَمِنْ ضِيْقِ الدُّنْيَا وَالأَخِرَةِ.
(Maksudnya) : Allah yang membangkitkan kami untuk mengajak sesiapa yang mahu daripada memperhambakan diri kepada sesame makhluk kepada memperhambakan diri hanya kepada Allah, daripada ajaran-ajaran (agama) yang zalim kepada keadilan Islam, dan daripada dunia yang sempit kepada dunia yang luas sehingga akhirat.
Itulah dia Islam. Marilah kita bersyukur atas nikmat Islam yang dikurniakan oleh Allah kepada kita, samada secara dakwah dan pengajian atau secara kebetulan dilahirkan daripada keluarga dan ibubapa yang beragama Islam. Kita tetap bersyukur kepada Allah SWT dan menyatakan kesyukuran itu dengan beramal dengan Islam dan mempertahankan keyakinan kita dengan Islam.
أَعُوذُ بِاللهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ.
الْيَوْمَ يَئِسَ الَّذِينَ كَفَرُوا مِنْ دِينِكُمْ فَلَا تَخْشَوْهُمْ وَاخْشَوْنِ ۚ الْيَوْمَ أَكْمَلْتُ لَكُمْ دِينَكُمْ وَأَتْمَمْتُ عَلَيْكُمْ نِعْمَتِي وَرَضِيتُ لَكُمُ الْإِسْلَامَ دِينًا [سورة المائدة:3]
3. pada hari ini, orang-orang kafir telah putus asa (daripada memesongkan kamu) dari ugama kamu (setelah mereka melihat perkembangan Islam dan umatnya). sebab itu janganlah kamu takut dan gentar kepada mereka, sebaliknya hendaklah kamu takut dan gentar kepadaKu. pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu ugama kamu, dan Aku telah cukupkan nikmatKu kepada kamu, dan Aku telah redakan Islam itu menjadi ugama untuk kamu. (Surah Al-Maidah ayat 3)
بَارَكَ اللَّهُ ولَكُمْ فِي الْكِتَابِ والسُّنَةِ. وَنَفَعَنِى وَإِيَّاكُمْ بِالْآيَاتِ وَالْحِكْمَةِ. أَقُولُ قَولِى هَذَا وَاَسْتَغفِرُ الله العَظِيمَ لِى وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ المُسْلِمِينَ وَالمُسْلِمَاتِ إِنَّهُ، هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ.